Wednesday, September 21, 2016

Sistem Sokongan Oleh Pihak Kerajaan Dan Swasta Yang Ditawarkan Untuk Pembangunan Industri Pelancongan

Dari aspek sistem sokongan, pihak kerajaan telah menjalinkan kerjasama dengan Malaysian Association of Tour and Travel Agents atau Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia untuk membangunkan industri pelancongan. Fungsi MATTA adalah untuk memajukan kepentingan industri perjalanan dan pelancongan di Malaysia. MATTA bekerja rapat dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB), membantu menganjurkan pameran, seminar, konvensyen dan bengkel kedua-duanya sekali untuk mewujudkan kesedaran orang ramai terhadap industri pelancongan dan juga memberi manfaat kepada ahli-ahlinya. MATTA juga bertanggungjawap untuk merancang promosi perlancongan untuk setiap tahun bagi mempromosi Malaysia di mata dunia.

Berdasar dari laporan Rancangan Malaysia ke-11, pelbagai peruntukan telah diagihkan bagi meningkatkan kualiti perlancongan. Merujuk kepada Rajah 4, dapat dilihat peruntukan bagi 2015-2020. Antara perancangan pelancongan adalah menjadikan ekopelancongan sebagai segmen utama industri pelancongan dengan memanfaatkan aset biodiversiti melalui pemeliharaan dan pemuliharaan yang meluas, disokong oleh aktiviti penjenamaan dan promosi bersasar. Produk eko-pelancongan akan dibangunkan sepanjang rantaian nilai pelancongan yang mempunyai pulangan tinggi. Bagi tujuan ini, usaha akan diambil untuk menarik pelabur terkemuka yang kompeten dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi dan hidupan liar. Elemen yang boleh meningkatkan pengalaman dan kepuasan pelancong seperti kemudahan pelancongan, pusat penerangan yang interaktif, keselamatan dan komunikasi akan diperkukuh. Tidak ketinggalan juga, Malaysia telah merancang untuk mengunakan industri perkhidmatan pelancongan kesihatan yang akan diberikan tumpuan bagi menarik pelancong kesihatan untuk mendapatkan rawatan dalam bidang onkologi, kardiologi, ortopedik dan pergigian serta perkhidmatan teknik reproduktif berbantu. Selaras dengan permintaan global yang semakin meningkat bagi penjagaan kesihatan semula jadi, industri perubatan tradisional dan komplementari akan terus dibangunkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab dan pusat rujukan serantau.



Rajah 4 : Petunjuk utama sektor perkhidmatan, 2015 - 2020


Pihak badan berkuasa juga tidak ketinggalan dalam memberikan sokongan untuk industri pelancongan. Sebagai contohnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menyediakan pusat-pusat maklumat pelancongan utama di Bandar Raya serta di pintu masuk utama lapangan-lapangan terbang. Maklumat tambahan turut disediakan oleh DBKL dan pihak swasta termasuk hotel-hotel dan agensi-agensi pelancongan. Pusat Maklumat Pelancong Malaysia (MTC) yang terletak di Jalan Ampang merupakan pusat maklumat pelancong yang terbesar dan serba lengkap di Malaysia. Pusat ini dilengkapi dengan dewan pameran, panggung terbuka, bilik pandangdengar, kaunter maklumat, restoran, kedai cenderamata dan kaunter perkhidmatan pelancong.

Pihak kerajaan juga memastikan persediaan modal insan industri pelancongan yang bakal menerajui sektor pelancongan dan pengurusan hotel. Ini adalah salah satu altenatif yang diambil oleh pihak pendidikan dalam membantu industri perlancongan. Menurut Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Prof Madya Dr. Mohamad Abdullah Hemdi, Uitm mempunyai 7,746 pelajar dalam bidang pengurusan hotel dan pelancongan. Institusi juga menyediakan latihan untuk orang ramai, sebagai contoh program homestay dengan kerjasama Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA) bagi meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang pelancongan. Peringkat persekolahan juga tidak ketinggalan dengan adanya kelab pelancongan yang telah ditubuhakan bagi mempromosikan Malaysia di mata dunia.

Berdasarkan kajian oleh Chor Foon Tang dan Eu Chye Tan, penkaji ini menyarankan pihak yang terlibat dengan pelancong meluaskan aspek hospitaliti yang akan menarik perhatian pelancong bagi menyahut seruan tahun melawat Malaysia. Ini adalah temasuk merancang pembangunan dan mempromosi ke peringkat tinggi di antara pihak kerajaan dan agensi pelancongan serta menggalakkan kepelbagaian bahasa di kalangan pembekal perkhidmatan. Selain daripada itu, mereka boleh mempromosi perniagaan mereka sebagai destinasi pelancongan yang menarik melalui stesen televisyen antarabangsa. Penkaji juga menyarankan pihak yang terlibat mensasarkan tarikan pelancong ke kawasan-kawasan yang berbeza bagi mewujudkan suasana yang kepelbagaian. Ini secara tidak langsung para pelancong dapat menikmati perbezaan rasa dari pelbagai destinasi. Secara tidak langsung, ini boleh membuat pelancong merasakan Malaysia seperti rumah kedua ketika melancong.


No comments:

Post a Comment