Saturday, September 24, 2016

Tahap Pembangunan Industri Pelancongan

Industri pelancongan di Malaysia bermula dari awal tahun 1970 dan telah menjadi sumber pendapatan pertukaran asing kedua tertinggi untuk negara selepas sektor pembuatan. Dalam pertumbuhan awal industri, pelancongan adalah lebih tertumpu di pusat peranginan pantai sebagai destinasi untuk bersantai. Pada tahun 1990 pula, pelancongan adalah lebih berasaskan alam semula jadi dan diperluaskan kepada tarikan lain seperti membeli-belah, peristiwa dan taman tema. Pasaran utama pelancongan Malaysia adalah negara-negara jiran ASEAN terutamanya Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia. Sementara yang lain termasuk Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, China, Taiwan, India, United Kingdom, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.

Industri pelancongan Malaysia telah menempuhi pelbagai cabaran sebelum memegang kedudukannya dalam peta destinasi pelancongan dunia dan secara tidak langsung menjadi salah satu destinasi popular di seluruh dunia. Politik dunia yang tidak stabil, SARS dan cabaran yang dihadapi oleh negara-negara ASEAN yang lain yang bersaing untuk menarik pelancong telah membuatkan Malaysia untuk merancang strategi tersendiri dalam mempelbagaikan strategi untuk menarik pelancong. Pelbagai kajian telah dijalankan untuk mengenal pasti ciri-ciri permintaan pelancongan dan trend antarabangsa selain menentukan produk yang berpotensi untuk dinaikkan taraf pelancongan di Malaysia. Oleh itu, Malaysia telah meningkatkan promosi pelancongan, menyusun pelbagai program dan acara serta mempelbagaikan dan menaik taraf kemudahan berkaitan pelancongan.

Walaupun mengalami krisis ekonomi pada 1998, ketibaan pelancong ke Malaysia meningkat daripada 6,210,900 pada tahun 1997 kepada 10,221,600 pada tahun 2000. Ini terutamanya disebabkan oleh promosi intensif untuk mengalakkan kemasukan pelancongan, menjadi tuan rumah kepada persidangan-persidangan dan acara-acara sukan antarabangsa yang utama seperti perlumbaan Formula One di Sepang. Jumlah perolehan daripada pelancong meningkat dengan ketara iaitu RM4.5 bilion pada tahun 1990 kepada RM17.3 bilion pada tahun 2000. Selain itu, bilangan pelancong tempatan yang melawat Kuala Lumpur dari pelbagai pelosok negara telah bertambah daripada 2,493,100 orang pada 1997 meningkat kepada 2,803,300 orang pada tahun 2000. Jumlah ketibaan pelancong asing juga meningkat daripada 3,536,300 orang pada tahun 1997 kepada 3,946,900 orang pada tahun 2000.

"Malaysia Truly Asia" adalah slogan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai jenama Malaysia yang unik untuk mempromosikan pelancongan di Malaysia. Penjenamaan yang pertama ditubuhkan 1999 juga telah memainkan peranan utama sebagai strategi pemasaran untuk menyerlahkan ciri-ciri unik Malaysia. Keunikan digambarkan melalui "Malaysia Truly Asia" adalah kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan yang terdiri daripada hampir semua tarikan yang wujud di negara-negara Asia yang lain. Penekanan yang lebih diberi untuk menarik pelancong dari jarak dekat dan pasaran serantau ASEAN, China, India, Jepun dan Asia Barat.

Pada tahun 2015, Tourism Malaysia telah melancarkan Tahun Festival Malaysia (MyFest). MyFest merupakan kempen pelancongan nasional terkini dengan tema “Endless Celebrations”, memaparkan kemeriahan sambutan perayaan di Malaysia yang kaya dengan pelbagai budaya. Pada masa yang sama juga Tourism Malaysia telah mengadakan Jualan 1Malaysia Grand Prix, Karnival Jualan Mega 1Malaysia dan Jualan Akhir Tahun 1Malaysia.

Rajah 1 : Pelancaran Malaysia Year of Festival 2015

No comments:

Post a Comment